PETALING JAYA: Dua lokaliti di Sabah dan satu di Pahang akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD dilaksanakan selama 14 hari bermula 15 hingga 28 Julai ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Di Sabah, PKPD membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga, Sandakan, Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Pitas.
Manakala di Pahang, PKPD membabitkan Felda Jengka 8, Jerantut.
Ismail turut memaklumkan PKPD yang akan tamat pada 14 Julai bermula 11.59 malam, melibatkan Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah, PPR Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa di Kuala Lumpur.
PKPD di Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan turut ditamatkan esok.
Sementara itu, PKPD Kampung Jaya Baru, Kunak, Sabah ditamatkan 13 Julai ini, lebih awal daripada dijadualkan.
Dalam pada itu beliau berkata, semalam 416 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 372 individu dikompaun manakala 44 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, tiada penjarakan fizikal, tidak patuh arahan kawalan pergerakan dan membawa penumpang berlebihan,” katanya.
Bagi Operasi Pematuhan, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas 2,285 kilang, 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 asrama penempatan pekerja.
“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.