2 maut, kapal latihan Tentera Laut Mexico terlanggar Jambatan Brooklyn

2 maut, kapal latihan Tentera Laut Mexico terlanggar Jambatan Brooklyn

New York: Dua orang maut dan 19 yang lain cedera selepas sebuah kapal latihan Tentera Laut Mexico merempuh Jambatan Brooklyn, kata Datuk Bandar New York, Eric Adams, pada Ahad.

Kapal itu mematahkan ketiga-tiga tiang layarnya ketika ia terlanggar dengan mercu tanda New York City itu pada lewat Sabtu, manakala orang ramai yang menikmati malam musim bunga yang nyaman menyaksikan kejadian.

“Pada masa ini, daripada 277 penumpang, 19 mengalami kecederaan, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal, dan dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan mereka,” Adams menyiarkan di X.

Rakaman dikongsi dalam talian menunjukkan kapal Tentera Laut Mexico, Cuauhtemoc, dengan layarnya bergelombang dan lampu-lampu perayaan tersarung di tali-temalinya, ketika ia cuba melalui di bawah jambatan, yang mencabut tiang-tiangnya dan menyebabkannya ia termasuk ke Sungai Timur.

Beratus-ratus penonton berkumpul beberapa minit sebelum itu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kapal itu, yang berlabuh di jeti di selatan Manhattan sejak Selasa lalu.

Tentera Laut Mexico dalam satu kenyataan berkata, dua anak kapal maut dalam nahas itu, dengan 22 lagi cedera – separuh daripada mereka kritikal.

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menulis di X bahawa dia “sangat sedih” dengan kematian dua anak kapal.

Kapal itu kehilangan kuasa kira-kira 8.20 malam Ahad ketika kapten sedang menggerakkan kapal, memaksanya menuju ke struktur jambatan di sebelah Brooklyn, kata ketua polis New York (operasi khas) Wilson Aramboles pada sidang akhbar.

Tentera Laut Mexico dalam kenyataannya berkata, tiada siapa yang jatuh ke dalam air, dan tiada operasi menyelamat dilancarkan.

Ketika kejadian, kapal itu berlepas dari New York dan bendera juga berkibar di tali-temali, manakala bendera Mexico yang besar turut dikibarkan pada kapal itu.

Beberapa saat selepas kapal itu meninggalkan dok, “tiba-tiba kami melihat semua lampu, bagaimana ia berlanggar, melanggar jambatan, dan mereka (para kelasi) semua jatuh,” Arturo Acatitla, seorang penduduk New York berusia 37 tahun, memberitahu AFP.

“Sementara pemeriksaan akan berterusan, tiada tanda-tanda kerosakan struktur pada Jambatan Brooklyn,” jabatan pengangkutan New York menyiarkan pada X.

Trafik di jambatan untuk laluan menuju dari Brooklyn ke Manhattan ditutup selama kira-kira 40 minit sebelum dibuka semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top