am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Dua lelaki termasuk warga emas maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Bernam, Batu 10, di sini hari ini.
Mangsa dikenali Mohammad Rosdi Samin, 69, dan Norazlan Mat Saad, 53.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, lima anggota dan jentera Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 9.20 pagi.
“Menurut laporan awal, nahas membabitkan MPV Toyota Avanza dengan dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd
