2 minggu lalu sempat jumpa, tiba-tiba hari ini emak tiada – Anak mangsa kebakaran

2 minggu lalu sempat jumpa, tiba-tiba hari ini emak tiada – Anak mangsa kebakaran

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Dua minggu lalu saya sempat bertemu emak dan menyerahkan wang belanja seperti biasa. Namun hari ini saya menerima perkhabaran emak rentung dalam kebakaran,” kata Razi, 50.

Razi adalah anak bongsu kepada Fatimah Mat Said, 89, yang meninggal dunia dalam kebakaran rumah di Jalan Tok Guru, di sini hari ini.

Katanya, arwah ibunya mempunyai seorang kembar yang tinggal di rumah bersebelahan, namun ketika kejadian itu kembarnya tidak berada di rumah dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Selepas arwah ayah meninggal dunia, emak memilih untuk tinggal bersendirian.

“Kami adik-beradik sentiasa mempelawanya untuk tinggal bersama memandangkan usianya yang semakin lanjut, selain mengalami masalah penglihatan kabur dan sukar bergerak.

“Namun setiap kali itu arwah menolak pelawaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Razi berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap tragedi itu sebagai ujian buat mereka sekeluarga.

Terdahulu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Satyuti Satar berkata, pihaknya mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran sebelum dapat membawa keluar mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri pula mengesahkan kematian warga emas itu tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


Berita Berkaitan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top