suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Enam lelaki termasuk dua pegawai kanan dan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi sebelum operasi khas dilancarkan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.
Menurutnya, hasil siasatan dan risikan dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berjaya membuat siri tangkapan bermula Isnin lalu.
“Operasi ini membabitkan tangkapan enam lelaki warga tempatan di beberapa lokasi berbeza.
“Daripada jumlah itu, tiga suspek dikenal pasti sebagai penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota.
“Manakala, tiga lagi adalah orang awam di mana seorang daripadanya mempunyai 20 rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, malam ini
Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga sehingga esok bagi membantu siasatan.
Shazeli berkata, antara barangan yang dirampas ialah wang tunai berjumlah RM1,498 serta pelbagai barang kes termasuk kenderaan Mercedes Benz, Chery Omoda 5, van Hiace dan tiga vest bertulis ‘Polis’.
Selain itu, katanya, turut dirampas ialah ketulan emas seberat 100 gram (g) dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama.
Katanya, polis kini giat mengesan dua lagi individu yang masih bebas hasil pendedahan maklumat daripada suspek yang ditahan.
“Polis Kontinjen Selangor menegaskan siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan tanpa kompromi walaupun kes ini membabitkan warga pasukan sendiri.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




