2 pelajar cemerlang SPM bakal tunai haji tahun ini

2 pelajar cemerlang SPM bakal tunai haji tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuantan: Dua remaja yang baharu sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada 31 Mac lalu, tidak menyangka bakal menunaikan haji tahun ini.

Fatih Mohd Faizal, 18, dan Nur Musfirah Mizana Jamalmizan, masing-masing bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, di sini.

Berdasarkan keputusan SPM 2025, Fatih memperoleh 10A 1B, manakala Nur Musfirah pula 7A 1B.

Bagi Fatih, secara jujurnya dia sukar percaya apabila disenaraikan menunaikan haji tetapi menganggapnya rezeki daripada Allah SWT.

“Saya percaya rezeki yang saya dapat ini bukan untuk saya tetapi ia amanah untuk saya kongsi bersama orang lain pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, saya diberikan peluang dan rezeki menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini. Insya-Allah, saya akan berangkat bersama mak saudara dan bapa saudara pada 28 April ini,” katanya.

Fatih ditemui pada Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Inisiatif Makmjr Pahang Program Barakah Haji Pahang 20026 yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Masjid Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, hari ini.

Nur Musfirah Mizana pula berkata, dia gembira kerana hasrat untuk menunaikan haji menjadi kenyataan kerana sebelum ini pernah menunaikan umrah ketika berusia sembilan tahun.

“Setakat ini, saya sudah membuat persediaan antaranya menambah ilmu berkaitan haji, pakaian yang selesa dan menutup aurat selain kekuatan mental dan fizikal yang menjadi keutamaan,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 1,712 bakal jemaah haji di Pahang terpilih bersama 31,600 jemaah haji Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Katanya, melalui Program Barakah Haji Pahang, kerajaan negeri pada tahun ini sekali lagi menyalurkan sumbangan RM750 kepada setiap jemaah haji Pahang.

“Apa yang lebih menggembirakan, tahun ini skop kelayakan turut diperluaskan iaitu anak-anak Pahang yang berada di perantauan tetapi terpilih menunaikan haji juga layak menerima sumbangan ini.

“Selain sumbangan tunai, kerajaan negeri juga akan membekalkan pek makanan sedia untuk dimakan kepada jemaah haji Pahang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top