2 pelajar Malaysia dipilih ke Akademi Tentera AS

2 pelajar Malaysia dipilih ke Akademi Tentera AS

saadiah_ismail@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Dua pelajar Malaysia berjaya menempatkan diri melalui proses pemilihan ketat untuk melanjutkan pengajian di dua akademi tentera berprestij di Amerika Syarikat (AS).

Nicholas Ong Yong Xen dari Maktab Tentera Diraja (MTD) berjaya diterima masuk ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland untuk pengajian operasi siber.

Mohamed Khairel Adha Mohd Khairee dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) pula diterima masuk ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado dan akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Aeronautika.

Kedua-dua mereka yang bercita-cita berkhidmat sebagai pegawai tentera laut dan juruterbang pesawat pejuang negara melalui proses pemilihan ketat dengan dinilai dari aspek potensi kepemimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik.

Duta Besar AS, Brian D McFeeters, berkata kejayaan dua pelajar menerusi sokongan institusi pengajian masing-masing itu dapat memastikan kerjasama akademik berterusan antara AS dan Malaysia, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Rakyat Malaysia yang mengikuti pengajian di akademi tentera AS berperanan sebagai duta Malaysia ke AS, di samping membina hubungan sepanjang hayat dengan anggota tentera dan rakyat di sana (AS).

“Diharapkan ikatan ini akan terus mengeratkan hubungan kita. Kadet Nicholas dan kadet Khairel pada hari ini antara barisan rakyat Malaysia yang mengagumkan,” katanya ketika majlis penghantaran pelajar itu secara maya.

Yang turut hadir, Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Hashim Aman Shah.

Hashim berkata, ATM melihat AS sebagai rakan kerjasama pertahanan yang boleh dipercayai terutama dalam meningkatkan pembangunan modal insan melalui pendidikan ketenteraan profesional dalam program akademi tentera.

“Kerjasama komprehensif antara AS dan Malaysia akan terus menjadi usaha sama yang membawa manfaat bersama untuk meningkatkan hubungan pertahanan bilateral antara kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Kerjasama Pertahanan di Kedutaan AS di negara ini, Leftenan Kolonel Lemar Farhad berkata, program Akademi Tentera AS dengan Malaysia berfungsi sebagai satu inisiatif penting dalam pembabitan ketenteraan AS dengan ATM.

“Lulusan program ini secara konsisten bergerak maju dengan memegang jawatan penting dalam ATM.

“Kami berharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan dalam pembangunan modal insan melalui peningkatan program latihan dan pendidikan pada masa akan datang,” katanya.

Sehingga kini, seramai 34 rakyat Malaysia berjaya lulus daripada empat akademi tentera AS, dengan kadet pertama mengikuti Kelas Akademi Tentera Laut AS adalah pada tahun 1971.

Tiga belas orang berjaya menyelesaikan program mereka di USNA, USAFA (4), West Point (12) dan Akademi Pengawal Pantai AS (5).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top