rnoraina@hmetro.com.my
Kajang: Polis menerima laporan daripada seorang pemandu lori yang terbabit pertengkaran akibat perselisihan faham dengan seorang pemandu kereta di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan video kejadian itu yang tular di media sosial pada 12.30 tengah hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.29 petang semalam yang mana seorang lelaki berusia 40 tahun sudah membuat laporan bagi tujuan perlindungan diri.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada pemandu kenderaan terbabit dikatakan menunjukkan isyarat jari tengah semasa memandu.
“Susulan itu, kedua-dua pemandu berhenti dan turun daripada kenderaan lalu berlaku tolak-menolak antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada kedua-dua pemandu.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di laman sosial TikTok rakaman video berdurasi 25 saat yang menunjukkan dua lelaki turun daripada kenderaan masing-masing dan berlaku pertengkaran antara mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




