am@hmetro.com.my
Shah Alam: Dua dari tiga suspek yang disyaki terbabit kes samun berparang di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam, dekat sini sudah diberkas polis, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar Kelana Jaya dan Shah Alam.
“Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek ini mengaku terbabit dalam kes itu.
“Polis turut merampas sebuah Perodua Bezza dan sebilah parang sepanjang 72 sentimeter dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian samun itu.
“Semakan lanjut turut mendapati kereta itu mempunyai rekod dilaporkan hilang di Sungai Way, Petaling Jaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, dua suspek itu disahkan positif dadah dan memiliki sebilangan rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta samun.
“Polis masih mengesan seorang lagi suspek terbabit sewaktu kejadian sebab ketika kejadian suspek ada tiga orang.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah taska disamun tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bermula sesi pembelajaran kelmarin.
Kejadian jam 9.35 pagi itu berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kehadiran murid di taska itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd