2 penyelam hilang ditemukan selamat di laut selepas 12 jam

2 penyelam hilang ditemukan selamat di laut selepas 12 jam

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Dua penyelam skuba termasuk seorang warganegara China yang hilang ketika melakukan aktiviti penyelaman di kawasan Taman Laut Pasir Akar, Pulau Redang, di sini, ditemukan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa iaitu Shahimi Zainal Abidin, 30, dari Kajang, Selangor dan Tan Yan Song, 43, ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 9.45 malam.

Katanya, mangsa ditemukan terapung di perairan Pulau Yu selepas dihanyutkan arus ketika melakukan aktiviti penyelaman di kawasan Taman Laut Pasir Akar pada 12.45 tengah hari, semalam.

“Mangsa ditemukan selepas kira-kira 12 jam mereka dilaporkan hilang.

“Kedua-dua mangsa di bawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk mendapatkan rawatan dan dihantar ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Setiu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua penyelam hilang ketika melakukan selam skuba di Taman Laut Pasir Akar, Pulau Redang.

Sebelum itu, mangsa bersama tiga termasuk pemandu bot bertolak dari jeti Laguna ke kawasan taman laut, namun tidak muncul di permukaan air selepas dua jam melakukan aktiviti selam skuba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top