am@hmetro.com.my
Jitra: Remaja berusia 18 tahun dan 19 tahun antara empat lelaki tempatan ditahan dalam empat serbuan berasingan di Bukit Kayu Hitam dan Changlun sejak Rabu hingga semalam selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ke negara ini.
Sindiket pengedaran dadah itu disyaki berpangkalan di Danok, Thailand dipercayai aktif sejak Mac lalu.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua suspek yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 28 tahun dan penahanan mereka dengan kerjasama Kontinjen Perlis dan Polis Thailand.
Menurutnya, pihaknya berjaya merampas kira-kira 93.77 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM290,600.
“Sindiket mengupah remaja tempatan untuk melakukan kegiatan jahat mereka itu. Mereka menyeludup masuk ganja dari Thailand sedikit demi sedikit menggunakan motosikal sewa.
“Dua suspek berusia 24 dan 28 tahun itu disyaki dalang utama sindiket yang bertindak sebagai perunding dan pembiaya. Remaja berusia 18 dan 19 tahun pula berperanan sebagai penjaga dan ‘transporter’ ganja.
“Suspek disyaki mampu menyeludup 20 kg ganja bagi setiap trip dengan upah sekitar RM400, manakala upah menjaga dadah di lokasi tertentu termasuk di kawasan Laka Temin pula sehingga RM100,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.
Katanya, sekiranya terlepas, jumlah ganja berkenaan boleh digunakan oleh 187,540 penagih dadah.
Adzli berkata, hasil siasatan mendapati, semua dadah yang diseludup akan ditransit di kawasan Ladang Rakyat, Laka Temin di Bukit Kayu Hitam sebelum diedarkan ke Kuala Lumpur.
“Tiga suspek berusia 19 hingga 28 tahun positif dadah jenis methamphetamine manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
“Semua suspek direman selama empat dan enam hari dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd