am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri : Tangki muatan bahan kimia dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari sebuah treler yang terbabit dalam kemalangan di Jambatan Link Kedua, Kilometer 0.8 Lebuhraya Plus, arah Singapura ke negeri ini di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, PKPgB Mohd Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden yang dipercayai tumpahan bahan kimia itu pada jam 5.41 petang.
“Kemalangan dua treler yang mana satunya membawa muatan bahan kimia jenis Propylene Glycol, manakala satu lagi dengan muatan bahan kimia Sodium Hypochlorite.
“Muatan bahan kimia Propylene Glycoltreler didapati jatuh ke dalam laut dari atas jambatan, manakala muatan bahan kimia satu lagi tidak mengalami kebocoran.
“Malah, tangki muatan bahan kimia yang jatuh ke dalam laut juga dipercayai tidak mengalami kebocoran daripada pengamatan kehadiran buih mahu pun kesan minyak di atas permukaan air laut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, operasi yang membabitkan 13 anggota itu masih lagi dijalankan dengan pasukan Hazmat digerakkan ke lokasi bagi membuat penilaian dan memastikan tiada berlaku sebarang kebocoran bahan kimia.
Katanya, pemandu treler yang membawa muatan Propylene Glycol itu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan, manakala pemandu sebuah lagi treler dilaporkan tidak cedera.
Terdahulu, tular video dirakam pengguna jalan raya yang memaparkan keadaan lokasi kejadian selepas berlakunya insiden berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya menunggu maklumat terperinci daripada bomba yang menjalankan operasi di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd