am@hmetro.com my
Kuala Terengganu: Dua warga tempatan berdepan denda sehingga RM50,000 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Mereka yang berusia 33 dan 62 tahun itu akan dipanggil Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Kawalan), Mat Amin Hassan berkata, terdahulu pihaknya mengadakan Operasi Sapu di Hulu Terengganu dan Dungun, semalam yang menyaksikan 18 PATI diberkas.
“Dalam operasi bermula 8 malam hingga 6 pagi itu, sembilan premis didiami warga asing diserbu dan 53 warga asing ditahan.
“Selepas pemeriksaan dilakukan, 18 warga asing termasuk 14 warga Indonesia, dua Myanmar dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan Thailand berusia antara 20 tahun hingga 52 tahun ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mat Amin berkata, 10 daripada 18 PATI ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, lapan lagi ditahan mengikuti seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi masa.
“Tiga PATI ditahan di sebuah kediaman di Kampung Landas, Ajil manakala 13 lagi ditahan di beberapa kediaman di Kampung Chemuak, Kuala Jengai dan di Kampung Pasir Raja, Dungun.
Katanya, melindungi PATI adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.
“Mengikut akta itu, badan bukan kerajaan (NGO), majikan atau individu yang melindungi dan mengambil PATI bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah, boleh dikenakan tindakan berat termasuk hukuman denda sehingga RM50,000,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




