20 penyelam profesional pindahkan pukat hantu di perairan Kuantan

20 penyelam profesional pindahkan pukat hantu di perairan Kuantan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seramai 20 penyelam profesional tempatan akan menyelam bagi memindahkan pukat hantu tersangkut pada bot tunda yang karam di 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini.

Operasi tanggungjawab sosial korporat sektor pelancongan itu akan diadakan pada Oktober depan, dengan misi mengambil masa antara lima hingga tujuh jam di bawah air.

Ketua pasukan penyelam, Zuriana Mohamad Zaini berkata, program kali pertama itu bertujuan memindahkan dan melupuskan semua pukat hantu yang tersangkut pada bot tunda yang karam 11 tahun lalu selepas berlanggar dengan kapal tangki minyak.

Menurutnya, penyelam tempatan mendakwa begitu banyak pukat hantu tersangkut di kawasan berkedalaman kira-kira 27 meter dan menjadi sarang pelbagai spesies ikan berkualiti tinggi.

Katanya, difahamkan kawasan itu menjadi tumpuan kaki pancing dan nelayan pantai mencari rezeki, namun disebabkan terdapat banyak pukat hantu, usaha mereka menangkap ikan berhadapan masalah.

“Kita berharap selepas operasi memusnahkan pukat hantu itu, ia mampu meletakkan sektor pelancongan di daerah ini lebih meriah dengan kehadiran penyelam dan kaki pancing.

“Perairan daerah ini banyak terdapat pukat hantu yang tersangkut pada batu karang hingga menjejaskan keindahan dasar laut,” katanya semalam.

Beliau berkata, pada program pembersihan dasar laut bulan lalu, penyelam profesional tempatan berjaya memindahkan pukat hantu di perairan Pulau Tokong Burung, Rompin.

“Seberat 50 kilogram (kg) pukat hantu dilupuskan. Pukat hantu menjadi pembunuh senyap pada hidupan laut terutama penyu. Pada program pembersihan dasar laut di Rompin, saya melihat seekor penyu dewasa tersangkut pada pukat hantu,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai operasi pukat hantu di Tanjung Gelang, pihaknya akan melakukan aktiviti sama di kawasan lain.

“Istilah atau nama pukat hantu digunakan apabila ia tidak bertuan dan tidak bertanda yang menjadi perangkap banyak hidupan marin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top