200 penguat kuasa DBKL lafaz ikrar bebas rasuah

200 penguat kuasa DBKL lafaz ikrar bebas rasuah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 200 anggota penguat kuasa Jabatan Penguatkuasaan (JPK) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), di sini, semalam, dalam usaha memperkukuh budaya integriti dan akauntabiliti melalui Program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA).

Pengarah Jabatan Integriti DBKL, Kamarulzaman Ahmad berkata, sesi lafaz serta tandatangan IBR itu diketuai Pengarah JPK DBKL, Mohd Muzammer Jamaluddin membabitkan pegawai dan anggota penguat kuasa dengan kerjasama Jabatan Integriti DBKL sebagai peneraju utama inisiatif pemantapan nilai murni dalam organisasi.

“Program ini bukan sekadar menyentuh aspek pengetahuan atau dasar, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pembentukan nilai dan jati diri penjawat awam.

“Integriti perlu dilihat sebagai satu gaya hidup, bukan sekadar slogan atau dasar di atas kertas,” katanya dalam ucapan pada majlis itu yang diadakan di Auditorium Menara Penguat kuasa DBKL, di sini semalam.

Beliau turut menegaskan prinsip kerja yang dipegang oleh Jabatan Integriti iaitu ‘Bekerjalah dengan sepenuh HATI’.

“Ia membawa maksud, hormat antara ketua dan anggota bagi mewujudkan suasana kerja harmoni (H), amanah dalam setiap tanggungjawab yang diberikan (A), tegas dan telus dalam melaksanakan tugasan dengan kejujuran (T) serta integriti dan ikhlas sebagai asas kepada keseronokan bekerja serta hasil kerja yang berkualiti (I),” katanya.

Katanya, lafaz IBR bukan hanya simbol komitmen terhadap usaha antirasuah, tetapi juga satu perisai moral bagi memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap imej dan kredibiliti anggota penguat kuasa DBKL.

“Apabila setiap anggota menghayati erti ikrar ini, ia akan menjadi benteng yang melindungi kita daripada godaan rasuah dan salah guna kuasa. Ikrar ini juga memperkukuh kepercayaan awam terhadap keikhlasan DBKL dalam menjalankan tugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top