am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Zoo Johor mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi yang hampir mencecah 20,000 orang, pada hari pertama pembukaan semula taman haiwan itu, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sejak diserahkan kepada kerajaan negeri pada 1962 dan dibuka kepada orang awam, 19,461 pengunjung adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan zoo berkenaan.
“Semalam adalah sejarah pengunjung tertinggi sejak Zoo Johor dibuka kepada orang awam pada 1962.
“Seramai 19,461 orang hadir ke Zoo Johor dari seawal 6.30 pagi apabila mereka mula beratur untuk membeli tiket sehingga kaunter tiket ditutup pada 5 petang.
“Pengunjung yang hadir adalah dari seluruh daerah di Johor termasuk 310 bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan, hari
Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri menyedari masih ada perkara yang perlu ditambah baik dalam pengoperasian taman haiwan berkenaan.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung yang datang ke zoo tertua di Malaysia ini.
“Semoga Zoo Johor akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong dalam merealisasikan agenda Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Zoo Johor ditutup sejak 2020 ketika pandemik Covid-19 dan seterusnya menjalani proses naik taraf sebelum dibuka secara rasmi untuk orang ramai pada semalam.
Tarikan pelancongan berusia 96 tahun itu terletak di atas tanah seluas 4.73 hektar dan terdapat lebih 275 ekor haiwan antaranya, harimau, ungka, gajah, tapir, burung dan buaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




