201,303 kg sisa elektronik dari AS dirampas di Pelabuhan Klang

201,303 kg sisa elektronik dari AS dirampas di Pelabuhan Klang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas sisa elektronik seberat 201,303 kilogram di Pelabuhan Klang Barat, dekat sini, hari ini.

Rampasan itu membabitkan barangan terpakai seperti unit pemprosesan pusat (CPU), pencetak dan mesin fotostat.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan dibuat selepas pemeriksaan ke atas 10 kontena di tapak pemeriksaan kontena CFS 4 Pelabuhan Klang Barat, jam 10.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan, sembilan kontena yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana disyaki membawa barangan larangan.

“Daripada jumlah itu, tujuh kontena tidak diisytiharkan secara sah untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati satu kontena membawa CPU terpakai, tiga kontena pencetak terpakai, satu kontena mesin fotostat terpakai dan empat kontena besi buruk.

Menurutnya, semua barangan berkenaan termasuk dalam kategori sisa terjadual yang dilarang diimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pemeriksaan itu turut disertai SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Katanya, kontena yang mengandungi sisa elektronik itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan lanjut daripada JAS Selangor dan JAS pusat untuk tujuan penghantaran semula ke negara asal.

Beliau berkata, AKPS akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top