hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tahun 2024 disifatkan sebagai tahun mencabar bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguji kredibiliti pasukan membabitkan beberapa kes berprofil tinggi termasuk serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan nyawa anggotanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sepanjang tahun lalu, kredibiliti pasukan keramat itu dituntut untuk merungkai beberapa kes berprofil tinggi menarik perhatian serta persepsi masyarakat khususnya di platform media sosial.
“Antara kes jenayah yang menggemparkan negara sepanjang tahun ialah penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api beserta 200 butir peluru di Kuala Lumpur.
“Selain itu, tragedi berdarah serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan anggota polis dan insiden pencerobohan di Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang.
“Kita juga berjaya membongkar kes eksploitasi agama dan menyelamatkan kanak-kanak dan wanita mangsa penganiayaan serta eksploitasi oleh Syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB),” katanya ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun PDRM sering tular dengan pelbagai kecaman dan tohmahan namun beliau yakin masyarakat masih meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap pasukan keramat berkenaan.
“Dengan jumlah seramai lebih 134,000 kekuatan, saya dan barisan kepimpinan tertinggi pasukan mengharapkan masyarakat turut membantu
memperteguhkan penyampaian perkhidmatan dan integriti warga Pasukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA PDRM).
“Melalui sistem ini, masyarakat boleh
menyalurkan sebarang aduan membabitkan warga PDRM. Inilah simbiosis hubungan yang terjalin antara polis dan masyarakat dalam menjamin kesejahteraan negara.
“Tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ masih dikekalkan ke arah memperkukuhkan pembudayaan mesra polis dan perkongsian tanggungjawab dalam usaha mencegah jenayah serta mengurangkan persepsi negatif terhadap isu keselamatan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




