LONDON: George Russell tidak berselindung di sebalik kekecewaan apabila mengakui musim 2026 bukan miliknya, sebaliknya mengangkat rakan sepasukan Mercedes, Kimi Antonelli yang mencipta sejarah sebagai juara dunia Formula Satu (F1) termuda.
Pelumba Britain itu meluahkan perasaannya secara terbuka menerusi media sosial, awal pagi tadi, selepas melalui musim yang jauh daripada jangkaan meskipun bermula dengan reputasi sebagai antara calon utama kejuaraan.
Kekecewaan Russell semakin memuncak selepas dia terpaksa diketepikan daripada tugasan media susulan Grand Prix (GP) Mexico City, Ahad lalu, dengan ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui pemandunya itu berdepan kekecewaan besar.
Memuatkan artikel berkaitan…
Lebih mengecewakan, Russell yang memulakan perlumbaan dari barisan hadapan melakukan permulaan cemerlang sebelum jentera dipandunya tiba-tiba kehilangan kelajuan, sekali gus menyaksikan kedudukannya merosot sehingga menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
“Musim ini bermula tepat seperti saya harapkan, tetapi keadaan berubah dengan pantas apabila saya berdepan nasib malang dan prestasi tidak memberangsangkan.
“Ini musim pertama dalam karier saya yang benar-benar menyaksikan lebih banyak hari buruk berbanding hari menggembirakan. Adakah sukar untuk menghadapinya? Ya, sangat sukar. Adakah sukar untuk bangkit setiap minggu? Ya, juga sangat sukar.
“Ada kalanya saya keliru? Kerap kali. Apa yang saya tahu, saya sudah memberikan segala-galanya dan 2026 sememangnya bukan tahun untuk saya,” katanya menerusi Instagram.
Nasib berbeza dialami Antonelli apabila pelumba Itali berusia 20 tahun itu memanfaatkan musim keduanya bersama Mercedes untuk meraih sembilan kemenangan, berbanding hanya tiga milik Russell, sekali gus mengesahkan gelaran dunia dengan baki empat pusingan.
Kejayaan itu turut menyaksikan Antonelli muncul juara dunia pertama Itali dalam tempoh 73 tahun, sekali gus mengatasi Russell yang memiliki pengalaman lebih luas dan sebelum ini dianggap lebih berpeluang menjulang gelaran berkenaan.-AGENSI




