Petaling Jaya: 2026 menandakan tahun pelaksanaan agenda pembaharuan dan pembangunan kerajaan, dengan impaknya telah mula dinikmati kalangan isi rumah, perniagaan dan ekonomi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata momentum itu dipacu oleh permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menetapkan hala tuju ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan, bernilai tinggi dan inklusif.
“Tahun lepas merupakan tahun perancangan dan komitmen, dengan kita memperjelas hala tuju, menyusun semula dasar dengan memberi keutamaan kepada rakyat, serta menjadikan ‘Ekonomi MADANI’ sebagai falsafah tadbir urus,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan pemaju hartanah “The CEO Series 2026” anjuran Institut REHDA di sini hari ini.
Beliau berkata peranan kerajaan adalah sebagai pemboleh, dengan menyediakan kestabilan fiskal, inisiatif strategik seperti Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) serta infrastruktur yang membolehkan perusahaan berkembang maju.
“Ramai dalam kalangan anda sudah menyesuaikan diri dengan ekonomi baharu, beralih kepada pendapatan berulang, wilayah kesejahteraan dan simpanan tanah pusat data di samping mengurus landskap global yang semakin kompleks.
“Dalam persekitaran ini, tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan kestabilan dan kejelasan yang kukuh, supaya keputusan berkaitan komitmen jangka masa panjang dapat dibuat dengan penuh yakin,” katanya.
Amir Hamzah berkata melalui inisiatif GEAR-uP, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menggerakkan pelaburan domestik RM120 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata hasrat kerajaan adalah jelas iaitu memastikan modal negara memenuhi kepentingan negara, digunakan sebagai pemangkin untuk menyokong industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang akan menentukan masa depan negara.
“Kita mahu pelaburan bertapak di sini, di tanah air sendiri, mewujudkan nilai yang kekal sebagai manfaat jangka masa panjang untuk rakyat Malaysia.
“Kita tidak mencari modal yang sekadar singgah, sebaliknya kita mencari modal yang membina, kekal dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata ketika negara memulakan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan sasaran tinggi sebanyak 47 juta pelancong dan RM329 bilion hasil pelancongan, usaha itu mencerminkan skala peluang untuk pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana, serta komuniti tempatan di seluruh Malaysia.
“Bagi sektor hartanah dan hospitaliti, ini merupakan peluang yang perlu dilihat melalui lensa ekonomi pengalaman.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar mengalu-alukan lebih ramai pelancong malah juga menyambut mereka dengan lebih baik melalui perancangan yang teliti, perkhidmatan yang cemerlang dan keprihatinan, kita akan menyerlahkan yang terbaik mengenai Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



