
Bas yang membawa 21 atlet negeri Kano yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu.Gambar Agensi
KANO, NIGERIA – Sekurang-kurangnya 21 atlet terkorban selepas bas dinaiki mereka terbabas dan terjatuh dari jambatan di daerah Kura, kira-kira 50 kilometer daripada bandar Kano, pada Sabtu.
Bas yang membawa 35 penumpang itu dalam perjalanan pulang daripada menyertai Festival Sukan Negara (NSF) di Abeokuta, Ogun.
Menurut seorang wartawan sukan, Ado Salisu yang turut serta dalam rombongan itu, 19 mangsa maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Kura.
Untuk rekod kenderaan malang itu yang membawa kira-kira 35 penumpang, terbabas dari jambatan di kawasan Dakstalle setelah menempuh perjalanan malam dari selatan negara.
Bas tersebut merupakan kenderaan terakhir daripada lapan buah bas yang membawa kontinjen Kano ke festival sukan tersebut.
Beberapa atlet yang terselamat kini sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Murtala Mohammed, hasil tindakan pantas kerajaan negeri.
Sementara itu, bekas Naib Presiden Nigeria, Atiku Abubakar berkata, beliau menyampaikan ucapan takziah dan rasa dukacita mendalam atas kehilangan besar berkenaan.

Atiku Abubakar
Beliau menyifatkan tragedi ini sebagai ‘tragedi negara’ yang meragut nyawa generasi muda yang berbakat dan penuh harapan.
“Lelaki dan wanita muda ini mewakili yang terbaik dari negara kita berdedikasi, berbakat dan menjanjikan masa depan yang cerah.
“Kehilangan mereka bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakyat Kano, tetapi juga seluruh negara,” katanya.
Berikutan itu, Atiku menggesa pihak berkuasa untuk memperketatkan piawaian keselamatan bagi perjalanan jarak jauh, khususnya yang melibatkan atlet dan kontinjen negara.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Kano dengan ahli keluarga dan komuniti sukan berkabung atas kehilangan ini.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kemalangan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang.