GEORGE TOWN : Seramai 21 penumpang dilaporkan cedera selepas sebuah Feri Pulau Pinang bertembung dengan kapal, MV Mekar Jaya dalam had Pelabuhan Pulau Pinang, malam ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian, MV Mekar Jaya sedang melakukan pergerakan dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
“Kapal tersebut kemudian berlanggar dengan feri yang sedang dalam perjalanan ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH),” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, ketika ini, kesemua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Soon Hin memberitahu, operasi perkhidmatan feri bagaimanapun dilaporkan berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan kejadian berkenaan.
“SPPP bersama-sama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan berkaitan penumpang yang terlibat dapat dilaksanakan.
“Langkah berkenaan turut merangkumi aspek keselamatan serta memastikan kelancaran operasi Pelabuhan Pulau Pinang sentiasa terjamin,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, feri terbabit membawa seramai 92 penumpang selain 47 buah motosikal dan sebuah basikal
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam laporan awal memaklumkan, feri dari Teluk Bahang itu dilaporkan berlanggar dengan kapal terbabit kira-kira pukul 8.30 malam dengan enam daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah.-UTUSAN
