21 pelajar ditahan disyaki bergaduh di gelanggang futsal

21 pelajar ditahan disyaki bergaduh di gelanggang futsal

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis menahan 21 pelajar disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah gelanggang futsal, di sini, yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ia membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima.

“Semua 21 pelajar bawah umur itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di gelanggang futsal berkenaan.

“Mereka ditahan semalam, namun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham yang berlaku sebelum ini.

“Mangsa dipukul beramai-ramai dan mengalami sakit pada beberapa bahagian badan serta dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

“Setakat ini, tindakan masih dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam, tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar sekolah bergaduh di sebuah gelanggang futsal di Kampung Tebobon, Manggatal, di sini.

Turut tular gambar menunjukkan kecederaan dialami seorang mangsa yang didakwa dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top