BAGAN DATUK: “Kerugian harta benda tak mengapa asalkan tiada yang jadi mangsa dalam kebakaran ini.”
Itu kata seorang mangsa kebakaran melibatkan 21 buah rumah di sebuah kampung nelayan di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini semalam.
Kediaman Kee Boo Lee, 54, antara yang terlibat dalam kebakaran itu yang turut melibatkan sebuah kedai makan dan sebuah tokong dan kejadian tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Menurut beliau, rumahnya musnah sama sekali dan tidak ada barang rumah yang dapat diselamatkan kerana ketika kejadian dia dan isterinya berada di Kuala Lumpur.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada penduduk di sini mengenai kebakaran itu dan bergegas balik ke sini bersama isterinya.
“Saya tidak pasti kebakaran berlaku tapi saya menerima panggilan telefon pada pukul 4 pagi. Saya berada di Kuala Lumpur pada masa itu dan saya terus pulang bersama isteri.
“Sebaik sahaja sampai pagi ini, saya tengok keadaan rumah musnah sama sekali, tak ada apa lagi yang dapat diselamatkan. Kerugian tak dapat saya hendak anggarkan, mungkin lebih RM100,000.
“Bagi saya ini nasib saya dan penduduk yang terlibat namun lebih penting kebakaran besar ini tidak melibatkan kecederaan atau penduduk kehilangan nyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 4.52 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dibantu BBP Teluk Intan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang segera diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Kebakaran merebak dengan pantas kerana keadaan rumah yang terletak berhampiran dan tekanan air dari pili bomba agak rendah. Api berjaya dikawal pada pukul 7.30 pagi,” katanya. – UTUSAN