21 warga asing antara 31 individu ditahan terbabit kes penipuan, judi dalam talian

21 warga asing antara 31 individu ditahan terbabit kes penipuan, judi dalam talian

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menahan 31 individu termasuk 21 warga asing yang disyaki terbabit dalam penipuan dan judi dalam talian dalam empat serbuan berasingan di negeri ini sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagi kes pertama pada 14 April, polis menyerbu sebuah kediaman di Taman Ampang Utama dan menahan 10 warga asing terdiri daripada lapan lelaki serta dua wanita.

Menurutnya, siasatan mendapati, semua suspek berumur 23 hingga 41 tahun itu disyaki terbabit dalam sindiket penerimaan dan pertukaran wang yang disyaki diporelehi daripada hasil penipuan.

“Hasil serbuan itu, polis merampas empat unit komputer riba, 15 unit telefon bimbit, satu unit iPad dan satu unit router dengan nilai rampasan sekitar RM20,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak Januari lalu yang mana salah satu tangkapan berperanan sebagai tukang masak, manakala bakinya sebagai operator bagi menguruskan penerimaan wang dari luar negara yang terdiri daripada negara-negara seperti Filipina, Taiwan, Hong Kong, Indonesia serta India.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420B dan 120B Kanun Keseksaan. Semua tangkapan direman bagi melengkapkan siasatan termasuk mengikut Akta Imigresen 1959,” katanya dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Shazeli berkata, serbuan kedua pada 20 April di sebuah rumah di Bukit Ampang dan polis berjaya menangkap 10 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan berperanan sebagai pemandu, sembilan adalah lelaki warga asing berperanan sebagai operator.

“Siasatan mendapati, kesemua suspek berumur 18 hingga 33 tahun itu disyaki terbabit di dalam sindiket penipuan judi dalam talian menyasarkan warganegara China.

“Suspek menawarkan permainan judi dalam kepada mangsa melalui aplikasi Tencent dan Telegram dengan menjanjikan kemenangan kepada mangsa.

“Mangsa yang berminat akan membuat bayaran melalui aplikasi Alipay dan juga WeChat Pay. Wang kemudiannya akan digunakan oleh ahli sindiket dalam permainan judi dalam talian yang tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebanyak tujuh unit monitor, tujuh unit CPU, 21 unit telefon bimbit dan satu unit router dengan anggaran rampasan kira-kira RM60,000.

Shazeli berkata, sehari kemudian polis menyerbu sebuah kediaman di Petaling Jaya dan berjaya menangkap lapan lelaki tempatan berumur lingkungan 26 sehingga 38 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket penerimaan dan penukaran wang hasil penipuan.

“Dalam serbuan, polis merampas lapan unit set komputer, lapan unit komputer riba, 19 unit telefon bimbit dan satu unit router dengan nilai anggaran rampasan sekitar RM40,000.

“Siasatan awal mendapati, sindiket beroperasi sejak Disember tahun lalu yang mana kesemua tangkapan berperanan sebagai pengurus akaun bagi menguruskan transaksi pindahan wang dari akaun bank pelbagai lapisan.

“Kesemua tangkapan sudah dituduh mengikut Seksyen 417 KK/Seksyen 120B KK dan didenda sebanyak RM5,000 seorang,” katanya.

Bagi kes keempat pada 24 April lalu katanya, polis menyerbu sebuah kediaman di bandar Subang, Jaya dan menangkap tiga lelaki termasuk seorang lelaki tempatan berumur 21 hingga 32 tahun kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan warganegara China sebagai mangsa.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 10 unit telefon bilik, lima unit komputer riba, tiga unit monitor, satu unit router dan satu modem dengan anggaran RM40,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak Januari lalu yang mana tangkapan berperanan sebagai operator bagi menawarkan pelaburan secara dalam talian.

“Kesemua tangkapan sedang direman bagi siasatan mengikut mengikut Seksyen 420 KK dan Seksyen 120B KK,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top