211 individu dikehendaki polis Kelantan

211 individu dikehendaki polis Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seramai 211 individu dikehendaki polis Kelantan atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk 24 kes berkaitan gangguan seksual.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, selebihnya 187 lagi masih dalam buruan dengan kebanyakannya dipercayai bersembunyi di luar negeri dan di negara jiran.

Katanya, jumlah individu dikehendaki itu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2023.

“Seramai 206 daripada 211 individu yang dikehendaki itu sedang dijejaki Jabatan Siasatan Jenayah negeri manakala lima disenaraikan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik atas kesalahan berkaitan dadah.

“Kesalahan itu dilakukan di semua 10 daerah di Kelantan dengan jumlah kes tertinggi dicatatkan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Majoriti mereka adalah lelaki. Hanya kira-kira 10 peratus sahaja dipercayai masih berada di Kelantan.

“Selebihnya telah melarikan diri ke negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur atau menyeberang ke negara jiran,” katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata, 24 suspek yang terbabit dalam kes gangguan seksual terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk individu yang dikenali mangsa seperti teman lelaki serta penyerang yang tidak dikenali.

“Kes-kes ini adalah serius dan kami komited untuk membawa semua yang terbabit ke muka pengadilan, tanpa mengira lokasi semasa mereka.

“Kami dimaklumkan mereka telah melarikan diri ke negeri lain untuk mengelak daripada ditahan,” katanya.

Selain kes gangguan seksual, Mohd Yusoff berkata, ramai daripada suspek juga dikehendaki mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya, Seksyen 457 kerana pecah rumah dan Seksyen 379 kerana mencuri.

“Empat suspek turut dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana terbabit dalam kegiatan jenayah terancang atau berulang,” katanya.

Katanya, polis melancarkan operasi bersasar untuk menahan suspek.

“Operasi ini berterusan dan akan diteruskan sehingga semua suspek ditahan.

“Kami juga dibantu kontinjen polis lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu pihak berkuasa dalam mengesan individu berkenaan selain menegaskan kerjasama masyarakat penting dalam memastikan keadilan ditegakkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top