am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seramai 22 individu dalam senarai dikehendaki polis serta 51 individu yang dipercayai penagih dadah ditahan dalam serbuan Ops Mega Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah di beberapa lokasi di daerah Kuala Muda pada 17 April hingga semalam.
Ketua JSJ Kedah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, operasi bersepadu itu tertumpu di daerah Kuala Muda bersama beberapa agensi lain untuk menangani serta mencegah kegiatan jenayah.
Beliau berkata, objektif utama operasi itu untuk melakukan serbuan dan tangkapan berskala besar terhadap suspek yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan jenayah indeks di daerah itu.
“Operasi menyasarkan kepada elemen judi, maksiat, gengsterisme dan penjenayah yang berpotensi seperti penagih dan pengedar dadah.
“Selain itu, beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi kekerapan berlakunya jenayah turut diberikan tumpuan utama.
“Operasi ini membabitkan seramai 163 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Indah Water Konsortium serta syarikat telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Yazid berkata, operasi itu berjaya mencapai objektif utama dengan sejumlah 117 tangkapan dalam operasi selama lima hari itu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 51 individu yang ditahan didapati positif dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan manakala 22 individu lagi dalam senarai dikehendaki polis.
“Hasil operasi itu juga, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 66 kes jenayah harta benda membabitkan kes pecah rumah dan curi yang berlaku di daerah Kuala Muda.
“Operasi ini membuktikan komitmen PDRM khususnya Kontinjen Kedah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Tindakan penguatkuasaan berterusan juga akan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya masyarakat di dalam negeri ini sentiasa selamat dan yakin dengan keamanan di negeri ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd