22 murid, pelajar harum nama Malaysia di Itali

22 murid, pelajar harum nama Malaysia di Itali

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekumpulan 22 pelajar dan murid mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah dalam pertandingan Fest Info Dance International 2023 Remini di Itali yang berlangsung dua hari bermula 19 Mei lalu.

Kumpulan Kebudayaan Kementerian Pendidikan diwakili pasukan tarian daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama dan SMK Sri Aman dari Selangor serta SMK Sultan Ismail, Kelantan selain Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Kesemua peserta berusia antara tujuh hingga 20 tahun yang menampilkan 17 jenis tarian antaranya, Tarian Sewang, Serong Heret, Batarung, Pahlawan Cilik, Zapin, Joget, Bulu Kirip dan Bhangra di bawah bimbingan jurulatih dan kareografer, Mamad Samsudin.

Kumpulan itu membanggakan Malaysia apabila berjaya memenangi tempat pertama (emas) untuk 15 Tarian dalam Kategori Mini, Kanak-kanak, Junior dan Senior iaitu Sewang, Da Lian Wu, Bhangra, Pahlawan Cilik, Zapin Jemput Pengantin, Pelanduk, Joget Aruk Kanjar, Selendang Berdansa, Batarung, Pao Gan Wu, Bulu Kirip , Kepang, Dabus, Zapin Kerincing serta Puteri Gamelan.

Selain itu, dua tarian kategori mini dan junior iaitu Sorong Herot, Ajat Jejengkak mendapat tempat kedua, serta anugerah khas iaitu Kostum Terbaik Keseluruhan, manakala Bakat Terbaik melalui Sofea Shazana Ezwan Fansuri daripada SK Taman Megah yang mempersembahkan Tarian Sewang.

Ketua Kontinjen, Darlina A Razak berkata, pihaknya bersyukur dan berbangga dengan kejayaan itu dan mengakui ia satu penghargaan bermakna bukan saja buat pasukannya, malah untuk negara juga.

Guru Penasihat Kelab Kebudayaan SK Taman Megah itu berkata, pertandingan disertai 10 negara seperti Belgrade, Russia, Croatia, Montenegro dan Romania membabitkan 500 penari dan 324 jenis tarian.

“Alhamdulilah dengan kejayaan ini kerana pasukan lain juga tidak kurang hebatnya, kerana setiap negara mempunyai keunikan dalam tarian tradisional atau tarian rakyat mereka sendiri.

“Jadi untuk memenangi hati juri yang bukan datang daripada latar belakang yang sama, pasukan Malaysia perlu mempamerkan satu kelainan yang dapat menawan juri dalam pemarkahan termasuk dalam pemilihan kostum, muzik dan jenis tarian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dengan kejayaan itu, ia secara tidak langsung memperlihatkan hasil usaha gigih pasukan selama ini terhadap seni tarian tradisional bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Katanya, usaha itu juga sekali gus memastikan tarian tradisional tidak ditelan zaman dan diangkat di persada dunia seiring perubahan zaman.

“Kami menjalani latihan tiga bulan bermula sejak Ramadan lalu dan melalui beberapa cabaran seperti halangan melakukan aktiviti luar kerana cuaca panas, jadi jadual latihan terpaksa diatur semula.

“Selain itu, pelajar juga perlu menyeimbangkan keperluan pembelajaran di sekolah masing-masing. Kami juga menghadapi cabaran dalam menampung perbelanjaan yang tinggi di luar negara.

“Alhamdulillah kami dapat tajaan tempat latihan oleh Choreoarts Studio di Petaling Jaya dan juga tajaan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, Menteri Besar Selangor Incorporated, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan CSVD Costume Rental,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd