22 penyelam berjaya pasang pengapit di dasar Sungai Perai

22 penyelam berjaya pasang pengapit di dasar Sungai Perai

am@hmetro.com.my

Butterworth: Hasil kerja keras dan komitmen 22 penyelam yang bertungkus lumus menjayakan pelan tindakan kecemasan untuk memasang pengapit di bahagian bawah paip di dasar Sungai Perai, di sini, akhirnya membuahkan kejayaan.

Ini apabila kerja pemasangan pengapit itu siap kira-kira jam 6.30 petang tadi iaitu lima jam lebih awal berbanding waktu asal yang ditetapkan sekitar jam 11.30 malam ini.

Menurut laporan yang dikemaskini Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), pencapaian yang ditunjukkan pasukan penyelam amat memberangsangkan.

“Sehubungan itu, PBAPP memulakan pemulihan bekalan air untuk 84 peratus daripada 120,000 pengguna yang terjejas.

“Pengguna yang berhampiran dengan Kompleks PBAPP Bukit Dumbar akan mendapat bekalan air terlebih dahulu, pemulihan kemudiannya akan meluas ke selatan menuju ke daerah Barat Daya.

“Kita menjangkakan pemulihan penuh pada jam 6.30 petang Ahad ini dengan melibatkan pengguna dihujung paip agihan dan yang berada di kawasan tinggi,” katanya.

Terdahulu,PBAPP merancang untuk melaksanakan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada jam 11.30 malam Isnin selepas pelan tindakan kecemasan dinamakan ‘Pelan A’ itu berhasil mengikut jadual ditetapkan.

Ia adalah untuk membolehkan kira-kira 120,000 pengguna terjejas diberikan tempoh 24 hingga 48 jam untuk mengisi tangki simpanan mereka, sebelum penutupan saluran paip bagi pelaksanaan kerja-kerja lencongan.

© New Straits Times Press (M) Bhd