22 rumah musnah terbakar di Sandakan

22 rumah musnah terbakar di Sandakan

am@hmetro.com.my

Sandakan: Kira-kira 22 rumah musnah mengakibatkan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Batu 3, berhampiran Kiriman Tung Ma, di sini, petang tadi.

Kejadian pada jam 4 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.07 petang.

Katanya, sepasukan 34 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Rosemidian Majid dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan beberapa rumah jenis tidak kekal terbakar.

“Operasi pemadaman segera dilakukan dengan menggunakan dua aliran dan empat pancutan. Api berjaya dikawal kira-kira 4.41 petang. Operasi tamat sepenuhnya pada 6.42 petang.

“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top