Hefei, China: Syarikat pengeluar dron China, EHang Egret yang berpangkalan di Guangdong mencipta sejarah apabila memecahkan Rekod Dunia Guinness (GWR) menerusi pelancaran 22,580 dron secara serentak dalam satu pertunjukan cahaya yang memukau di sini, baru-baru ini.
Memetik laporan Odditycentral, pencapaian luar biasa pada 3 Februari lalu itu menyaksikan penggunaan teknologi ‘kecerdasan kelompok’ berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengawal puluhan ribu unit dron sebagai satu sistem tunggal tanpa sebarang perlanggaran.
Paparan itu menampilkan corak rumit termasuk tanglung Cina tiga dimensi (3D) dan landskap bandar yang menerangi ruang udara Hefei, wilayah Anhui, dalam pertunjukan yang direka bagi menunjukkan kecanggihan teknologi dron negara berkenaan.
Walaupun terdapat kira-kira 25 dron gagal berlepas, baki 22,580 unit lain sudah memadai untuk mencipta rekod dunia baharu bagi kategori dron paling banyak dikendalikan serentak.
Sebelum ini, persaingan sengit dalam kalangan syarikat China menyaksikan rekod dunia silih berganti bermula dengan 11,787 dron di Chongqing pada Jun tahun lalu, diikuti 15,847 dron oleh pengeluar lain dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Pertunjukan cahaya itu bertujuan mengukuhkan kedudukan China sebagai peneraju global dalam teknologi dron dan sistem automasi udara.
Bagaimanapun, pakar ketenteraan berpendapat demonstrasi berkenaan turut berfungsi sebagai isyarat kekuatan kepada pesaing memandangkan teknologi kelompok dron secara teorinya boleh digunakan untuk “serangan tepu udara”.
Melalui kaedah berkenaan, sejumlah dron kos rendah yang dikawal oleh AI berpotensi mengatasi sistem pertahanan musuh yang lebih canggih melalui serangan berkelompok.
Hefei kini menjadi saksi kepada anjakan besar dalam industri dron dunia yang bukan sahaja menumpukan aspek estetika hiburan tetapi membuktikan keupayaan menguasai ruang udara dalam skala yang jauh lebih luas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




