23 kes ajaran sesat dikenakan tindakan sejak 2019 – Exco Selangor

23 kes ajaran sesat dikenakan tindakan sejak 2019 – Exco Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Sebanyak 23 kes berkenaan ajaran sesat dikenakan tindakan penguatkuasaan di negeri ini sejak tahun 2019 hingga tahun lalu.

Exco Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, antara ajaran sesat yang diambil tindakan ialah Millah Abraham, Rasul Melayu dan Tuhan Harun.

“Sebanyak 12 kes sudah pun disabit kesalahan, manakala 11 kes lagi di peringkat proses perbicaraan di Mahkamah Syariah,” menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) pada Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Mohammad Fahmi menjelaskan, kerajaan Negeri mengawal penyebaran ajaran sesat di Selangor dengan mengambil pendekatan intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan kepada ajaran sesat yang dikenal pasti tersebar.

“Maklumat-maklumat juga disebarkan melalui penerbitan bahan-bahan bercetak dan melalui media elektronik bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Medium khutbah pada hari Jumaat turut digunakan bagi menyampaikanmaklumat yang perlu disamping memberi kesedaran sekira terjebak dengan ajaran-ajaran sesat yang ada.

“Kerajaan Negeri turut menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan di samping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top