23 pemain bola sepak sudah dapat warganegara – KDN

23 pemain bola sepak sudah dapat warganegara – KDN

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan sehingga 2025 seramai 23 pemain bola sepak sudah diberi taraf kerakyatan.

Jelas beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima permohonan menjadi warganegara sejumlah 49,000 yang diluluskan pihaknya, termasuk 23 pemain bola sepak.

“23 orang (pemain bola sepak). Berapa banyak permohonan menjadi warganegara 49,000, berapa banyak lagi permohonan yang belum dibuat keputusan 6,000 sejak saya berada di sini (sebagai Menteri KDN).

“Berapa banyak pemain bola sepak 23 orang,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, kesemua proses itu menggunakan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana proses memohon warganegara melalui permohonan naturalisasi, mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 19 iaitu permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia yang datangnya dari warganegara asing,” katanya.

Untuk rekod, sejak sedekad lalu skuad Harimau Malaya mula membuka pintu buat pemain yang memiliki darah warisan dan import untuk dinaturalisasikan bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan selain didaftarkan sebagai tonggak import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Antara pemain warisan yang sudah menerima kerakyatan negara ini termasuklah Brendan Gan, Matthew Davies, Corbin Ong, Stuart Wilkin, Nooa Laine, Dion Cools dan ramai lagi.

Terbaharu, tujuh tonggak babitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang diberi kerakyatan pada tahun ini.

Sementara itu, seramai sembilan pemain import sudah dinaturalisasikan sejak 2018 lalu iaitu Mohamadou Sumerah, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santos, Paulo Josue, Romel Morales dan terbaharu, Jordan Mintah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top