24 lokasi pengumpulan mangga harum manis dikenal pasti

Kangar: Kerajaan Perlis sudah mengenal pasti 24 lokasi di negeri itu yang akan dijadikan sebagai ‘pick-up point‘ atau tempat pengumpulan mangga harum manis untuk dihantar ke luar negeri menjelang musim buah berkenaan, hujung bulan hadapan.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Nurulhisham Yaakob berkata, kerajaan negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan perjalanan penghantaran buah berkenaan berjalan lancar berbanding tahun lalu.

“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu kita melihat ramai pengusaha mangga harum manis menggunakan perkhidmatan kurier disebabkan tidak boleh bergerak merentas negeri.

“Namun, wujud masalah pula ketika itu di mana pusat perkhidmatan kurier dipenuhi dengan lambakan mangga harum manis yang sedia untuk dihantar ke destinasi luar Perlis sehingga ada buah-buahan berkenaan menjadi busuk dan tidak boleh dimakan lagi kerana terlalu lama berada di pusat perkhidmatan kurier berkenaan,” katanya selepas menghadiri Program ‘Walkabout’ dan pelancaran Pembelian ‘Online’ dan Pertandingan ‘Copy Writing’ Mangga Harum Manis di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohamad Mutahapa Awang dan Pengarah FAMA Perlis, Mohamad Paisal Amri.

Katanya, inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama empat syarikat perkhidmatan kurier.

“Lokasi ini akan diletakkan di tempat strategik di beberapa mukim di sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar dan lokasi ini termasuklah Pejabat FAMA Negeri dan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan.

“Pengusaha atau peniaga harum manis tidak perlu untuk bersesak di tempat perkhidmatan kurier lagi sebaliknya hanya perlu mengumpulkannya di lokasi berdekatan dengan kebun atau ladang harum manis pengusaha berkenaan.

“Mangga harum manis ini kemudian akan terus dibawa lori perkhidmatan kurier khas ke destinasi yang ditetapkan okeh pengusaha itu sendiri tanpa bercampur dengan bungkusan atau ‘parcel’ barangan lain,” katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan dijangka dapat menjimatkan masa dan sekaligus mengelakkan daripada berlakunya lambakan buah berkenaan sehingga rosak di premis perkhidmatan kurier.

Sementara itu, 3,000 tan metrik mangga harum manis dijangka dihasilkan pada tahun ini membabitkan 2,260 hektar kebun dan 2,700 pengusaha.

Musim mangga harum manis dijangka bermula pada akhir bulan hadapan hingga pertengahan Jun.

Scroll to Top