KUALA LUMPUR – Seramai 248 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikesan dalam operasi harian Task Force Pematuhan setakat semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 228 individu dikenakan kompaun, tiga individu direman manakala 17 lagi dijamin.
“Kesalahan ingkar SOP majoritinya melibatkan aktiviti di pusat hiburan membabitkan 205 individu, tiada penjarakkan fizikal (17).
“Turut ditahan kesalahan gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (11), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (8), tidak memakai pelitup muka (4) dan lain-lain kesalahan (3),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pihak berkuasa juga menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sebuah bot serta tiga kenderaan dalam Operasi Benteng, semalam.
“Sebanyak 113 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.
“Seramai enam orang PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette




