
BANGKOK: Seramai 25 orang pelajar dikhuatiri maut selepas sebuah bas yang membawa 44 pelajar dan guru terbakar pada Selasa.
Bas yang dalam perjalanan rombongan sekolah itu mengalami kebakaran di wilayah Pathum Thani, di pinggir ibu kota Bangkok, lapor Reuters.
Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit berkata, seramai 16 pelajar dan tiga orang guru telah dibawa ke hospital untuk rawatan susulan kejadian yang malang menimpa itu.
“Laporan awal mendapati terdapat 44 orang di dalam bas itu, iaitu 38 pelajar dan enam guru. Setakat yang kita tahu, tiga guru dan 16 pelajar berjaya keluar dari bas menyelamatkan diri masing-masing.
“Bagi yang masih hilang, kami belum dapat maklumat lanjut,” katanya.
Dalam kejadian itu, tayar bas tersebut dilaporkan pecah di lebuh raya, menyebabkan kenderaan yang menggunakan gas mampat itu merempuh penghadang jalan, dan mengakibatkan tangki bahan apinya meletup.
Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan api menyambar bas ketika ia terbakar di bawah jejantas, dengan asap hitam yang menyebabkan awan besar pekat berkepul-kepul ke udara.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menerusi laman X berkata, pelajar yang terlibat dalam kejadian itu berasal dari wilayah Uthai Thani, kira-kira 250 kilometer dari utara Bangkok.
“Sebagai seorang ibu, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang cedera dan meninggal dunia,” katanya. – Agensi/– HARAKAHDAILY 30/9/2024