25 penghuni Rumah Anak Yatim Shifa diraikan, terima baju dan duit raya

25 penghuni Rumah Anak Yatim Shifa diraikan, terima baju dan duit raya

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Ampang: Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, 25 anak yatim yang juga penghuni Rumah Anak Yatim Shifa di Gombak, Selangor tidak dipinggirkan.

Sebaliknya, mereka menerima pakaian dan duit raya yang disumbangkan Penaung Persatuan Tourette Malaysia (TAM) Datuk Badrul Hanif Ahmad Hadi sempena majlis berbuka puasa bersama penghuni terbabit di sebuah restoran dekat sini kelmarin.

Badrul Hanif yang juga Pengerusi Pusat Transformasi Usahawan (ETC) berkata, majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan itu adalah salah satu daripada program tahunannya untuk membantu golongan memerlukan sempena Aidilfitri.

Menurutnya, tahun lalu rumah warga emas disantuni dan kali ini memberi tumpuan kepada anak yatim bagi memastikan mereka turut merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.

“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana diberi kesempatan menceriakan anak yatim dalam Ramadan tahun ini terutama menjelang hari raya tak lama lagi.

“Bila kita tengok senyuman dan kegembiraan mereka, rasa puas hati lain macam.

“Ini salah satu cara saya untuk berkongsi rezeki dan kasih sayang dengan mereka yang memerlukan dan memilih Rumah Anak Yatim Shifa kerana dapat maklumat tak banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat memberi bantuan kepada rumah kebajikan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Majlis itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Norma Wahab dari Pusat Terapi Sukan Desire selaku penganjur program.

Hadir sama, Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood iaitu pakar dalam Pembedahan Am yang berkhidmat di Hospital Gleneagles , Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Badrul Hanif menyifatkan program bersama penghuni rumah kebajikan itu bukan saja memberi manfaat daripada segi bantuan material namun memberi peluang kepada anak yatim merasakan nikmat kegembiraan, kasih sayang, dan semangat Ramadan menjelang Aidilfitri.

“Saya berharap usaha ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat lain untuk sama-sama menyemai nilai prihatin dan kebajikan dalam kalangan komuniti.

“Jika ada rezeki, saya nak teruskan lagi program sebegini pada masa akan datang bagi memperluaskan lagi bantuan kepada lebih ramai golongan kurang bernasib baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top