25 tan beras seludup dari Thailand dirampas, invois dikemukakan dipercayai palsu

25 tan beras seludup dari Thailand dirampas, invois dikemukakan dipercayai palsu

nfazlina@nstp.com.my

Gua Musang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 25 tan beras dipercayai diseludup dari Thailand di Jalan Bentong-Kota Bharu, dekat Paloh, di sini, malam kelmarin.

Rampasan dilakukan pasukan khas Komander Briged Tenggara menerusi Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah lori yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 11 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati kenderaan terbabit membawa muatan beras putih yang disyaki diseludup dari Thailand.

“Pemandu lori mengemukakan dua salinan invois bagi menerangkan sumber dan tujuan penghantaran beras berkenaan. Namun, terdapat keraguan terhadap maklumat lokasi penghantaran yang tercatat pada invois berkenaan.

“Susulan itu, pemandu lori iaitu lelaki berusia 38 tahun ditahan, manakala lori serta muatan beras sebanyak 25,000 kilogram (kg) atau 25 tan itu dirampas untuk tindakan lanjut.

“Rampasan lori dan beras terbabit dianggarkan bernilai sebanyak RM550,000,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengemukakan invois perantaraan yang disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa semasa pemeriksaan dijalankan, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa penghantaran beras itu mempunyai dokumen sah.

“Semakan awal mendapati terdapat keraguan terhadap maklumat lokasi penghantaran yang tercatat pada invois berkenaan kerana lokasi yang dinyatakan tidak tepat.

“Perkara ini menimbulkan syak bahawa dokumen itu digunakan untuk mengelirukan pihak berkuasa berhubung sumber dan tujuan sebenar penghantaran beras.

“Maklumat hasil tangkapan akan dikembangkan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pihak yang terbabit dalam penyediaan dokumen, pengangkut, penerima serta rangkaian pengedaran beras yang disyaki diseludup dari Thailand,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top