am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seramai 25 individu bakal menerima darjah kebesaran pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor, serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Pengurniaan darjah kebesaran itu sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, berkata kesemua calon berkenaan sudah diperakukan dalam Mesyuarat Dewan di-Raja pada 6 Oktober lalu dan senarai berkenaan seterusnya sudah mendapat perkenan Sultan Selangor.
“Daripada jumlah itu, seramai enam orang adalah penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama yang akan menerima pengurniaan esok di Istana Alam Shah, Klang manakala baki seramai 19 orang penerima Darjah Kebesaran Kelas Kedua dan Kelas Ketiga, akan menerima pengurniaan dijadualkan 1 November ini.
“Seramai empat individu bakal menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato Seri bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.
“Dua lagi individu akan menerima Darjah Dato Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Dato Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua calon yang diperakukan sudah melalui dan melepasi proses tapisan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi aspek keselamatan dan rekod jenayah, Jabatan Insolvensi Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




