SEMPENA sambutan Hari Ulang Tahun 1 Briged RAMD ke-77, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) Senawang mengadakan Karnival Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) di Kem Batalion 15 RAMD, Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Penolong Pengurus Agama Andalusia Senawang, Dr Sabri Jamaludin berkata, pihaknya memilih kem tentera sebagai lokasi karnival sejajar dengan semangat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama rakyat.

DR SABRI
“Selaras dengan tema ‘Tentera dan Masyarakat Berpisah Tiada’, kita mengambil pendekatan untuk menyantuni masyarakat sekitar, khususnya warga Senawang melalui pendekatan karnival kekeluargaan ini.
“Ia sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Ulang Tahun 1 Briged ke-77 yang telah sekian lama berbakti buat masyarakat dan negara,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Tambah Dr Sabri, antara acara utama yang diadakan sempena karnival termasuk pameran aset ketenteraan dan demonstrasi oleh anggota 15 RAMD, kursus umrah perdana, Kem Smart Solat Wira Wirawati Cilik, cabutan bertuah JIMBA 2025, sukaneka rakyat, pertandingan mewarna, gerai jualan serta pameran dan banyak lagi.
Karnival dirasmikan Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Zamri Othman. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengurus Andalusia Senawang, Jafni Mustapha.
Dalam ucapan perasmiannya, Zamri berpesan dan memberi peringatan kepada semua hadirin mengenai kepentingan kesatuan antara pasukan keselamatan dan rakyat dalam membina negara yang aman serta harmoni.
Sementara itu, Jafni menjelaskan, kolaborasi antara Andalusia dan ATM ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada ATM atas khidmat bakti dan pengorbanan kepada negara khususnya dalam mempertahankan keamanan yang membolehkan rakyat hidup tenang dan dapat beribadah dengan selamat.
“Sempena karnival ini, Andalusia mengambil peluang untuk memberikan sumbangan dalam bentuk penganjuran karnival yang bermanfaat kepada anggota tentera dan masyarakat awam.

ZAMRI (dua dari kanan) diiringi Jafni (kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung yang hadir.
“Selain itu, kita memperkenalkan inisiatif khas kepada anggota tentera dan keluarga mereka yang ingin merancang melaksanakan ibadah umrah atau ziarah ke Tanah Suci,” katanya.
Menurutnya lagi, karnival ini merupakan penganjuran buat minggu ke-29 Andalusia dan kali pertama ia diadakan di Negeri Sembilan oleh Andalusia Senawang.
“Ia merupakan sebahagian daripada kempen nasional JIMBA 2025 yang berlangsung sepanjang tahun di 65 lokasi seluruh negara,” katanya.
Karnival sehari bermula seawal 8 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran 2,500 pengunjung termasuk anggota tentera dan keluarga mereka, penduduk setempat dari Senawang dan sekitarnya, pelajar-pelajar serta warga emas.

SEBAHAGIAN daripada orang ramai yang memeriahkan Karnival JIMBA 2025 di Kem 15 RAMD, Senawang.
Jafni berharap Andalusia dapat meneruskan lagi kerjasama strategik bersama ATM, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat pada masa akan datang.
“Kami mahu menjadikan Karnival JIMBA sebagai platform penyatuan rakyat pelbagai latar belakang dengan ilmu, hiburan dan penghayatan ibadah.
“Oleh sebab itu kami mahu menganjurkan karnival seperti ini di lebih banyak lokasi kem tentera, kawasan luar bandar dan institusi pendidikan,” katanya.