25,000 pengunjung dijangka serbu PMR 2025 Johor

25,000 pengunjung dijangka serbu PMR 2025 Johor

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Kira-kira 25,000 pengunjung dijangka membanjiri Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Johor di Toppen Shopping Centre, Tebrau yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata PMR 2025 Johor berlangsung selama tiga hari bukan sahaja ruang memperkenalkan dasar dan inisiatif kerajaan Madani, malah berperanan menyebarkan mesej kenegaraan berteraskan nilai Malaysia Madani kepada komuniti setempat.

“PMR membuka ruang kepada rakyat untuk berinteraksi terus dengan pelbagai agensi kerajaan, mendapatkan khidmat nasihat, mendaftar bantuan, menyuarakan maklum balas dan juga menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disusun.

“Antara aktiviti ialah Semarak Subuh, senamrobik @Bakti Komuniti Madani, Taklimat Internet Selamat, pertandingan mewarna, Internet Selamat, pertandingan E-sport, busking rakyat, Kenduri Rakyat Madani dan program Bicara Ilmu.

“Turut diadakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Johor 2025, di sini, hari ini.

Sekretariat PMR 2025 Negeri Johor dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan program dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan kerajaan Johor bertema ‘Belia MADANI, Yakin Boleh’ berlangsung serentak dengan Sambutan Hari Belia peringkat negeri.

Orang ramai dijemput memeriahkan acara dan memanfaatkan perkhidmatan disediakan antaranya ‘touchpoint’ rakyat, inisiatif kesejahteraan, jualan Madani, kaunter saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kesihatan, tawaran pekerjaan dan program pertukaran topi keledar.

Program bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam pada Jumaat dan Sabtu serta dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad turut membabitkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top