rnoraina@hmetro.com.my
Serdang: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan kanak-kanak dalam bacaan al-Quran (Juz Amma) terbesar.
Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz TABIKA KEMAS Peringkat Kebangsaan 2025 yang menghimpunkan 2,533 kanak-kanak termasuk 40 murid Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) mengatasi rekod 2,010 peserta dicatat pada 2007.
Dalam majlis berkenaan, peserta membaca surah an-Naba’ sehingga an-Naas secara serentak selama hampir satu jam, dipandu asatizah KEMAS beserta Yayasan Pahang, Yayasan PINTA dan Pusat Ulul Albab Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai jemputan khas.
Program yang diadakan sempena Festival KEMAS 2025 (FesMa ’25) tu menunjukkan perkembangan pesat program Pra Tahfiz yang diperkenalkan dua tahun lalu atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehingga tahun ini, modul berkenaan memanfaatkan 123,435 kanak-kanak di 10,567 TABIKA KEMAS seluruh negara, menjadikannya antara program pendidikan al-Quran prasekolah paling meluas.
Malah, pengiktirafan MBOR itu dianggap signifikan kerana mengukuhkan usaha KEMAS melahirkan generasi celik al-Quran seawal usia serta memperkukuh pelaksanaan Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS seluruh negara.
Dr Ahmad Zahid berkata, tiada siapa menduga KEMAS mampu mewujudkan pra tahfiz yang kini mempunyai hampir 123,000 kanak-kanak, membuktikan nilai dan pendidikan boleh bergerak seiring.
“Melalui penubuhan sehingga 4,000 kelas baharu, sedar atau tidak kita bukan sahaja melahirkan huffaz cilik, tetapi sedang membina generasi anak desa yang berakhlak, berdisiplin dan mempunyai
jati diri kuat.
“Inilah pelaburan paling penting untuk masa depan negara,” katanya dalam Majlis Perasmian FesMa 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, pada Sabtu.
FesMa 2025 yang menjadi penganjuran mega pertama menyatukan empat program besar KEMAS iaitu Alpha Gen Talents (Hari POTENSI KEMAS), Festival Kesenian Islam (i-Fest), Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) dan Program Aspirasi Usahawan KEMAS.
KEMAS turut menganjurkan Akademi Alpha Gen Talents@KEMAS, sebuah program realiti pendidikan yang menghimpunkan murid terbaik untuk pertandingan Ikon Bitara Ilmu dan Huffaz Cilik bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun.
Dalam festival berkenaan, pengunjung dapat merasai pengalaman langsung melalui simulasi kelas dan aktiviti KEMAS, serta memahami peranan pendidik termasuk tenaga pelaksana di lapangan.
FesMa turut mempamerkan ekosistem perkhidmatan KEMAS dari pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan wanita, keusahawanan desa, pembangunan belia, seni budaya dan kemahiran sambil memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap peranan institusi itu dalam memperkasa komuniti luar bandar.
Lebih manis, festival itu menghimpunkan alumni KEMAS dari seluruh negara, antara 8.3 juta alumni yang pernah mendapat manfaat daripada pelbagai program di bawah KEMAS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




