firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 26 jurulatih di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) hilang arah selepas khidmat mereka ditamatkan tanpa sebarang notis rasmi.
Malah, rata-rata jurulatih terbabit mempertikaikan tindakan itu yang disifatkan tidak mengikut klausa dalam kontrak, di mana sepatutnya mereka diberikan notis lebih awal berhubung keputusan itu.
Menurut salah seorang jurulatih yang terkesan, berdasarkan klausa kontrak pada perenggan 5.10.1, satu notis awal perlu diberikan selain bayaran sebulan gaji untuk penamatan kontrak.
Begitupun jelas sumber, kesemua 26 jurulatih babitkan 14 pengendali di semua negeri serta 12 jurulatih AMD hanya diberitahu dalam perbincangan GoogleMeet pada 15 Disember lalu dan ia kemudian berakhir begitu saja tanpa sebarang perkembangan.
Situasi itu ibarat ‘gantung tak bertali’, di mana notis rasmi tidak pernah diterima sekali gus masa depan dan periuk nasi kumpulan jurulatih terbabit hilang ketika tahun baharu bakal menjengah masuk Khamis ini.
“Kami masih ternanti-nanti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Langsung tidak ada notis rasmi dan perancangan untuk kami selaku jurulatih yang sudah dalam bersama program ini sejak 2012 lagi.
“Saya antara orang lama pembentukan awal program pembangunan ini, malah sebelum ia dijenamakan kepada NFDP ketika era KJ (Khairy Jamaludin) pada 2014 dulu.
“Rata-rata kami hilang mata pencarian. Seharusnya notis awal, sebulan atau dua bulan perlu diberikan bagi membolehkan jurulatih ini mencari kerja lain atau pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Ujarnya lagi, kesan negatif dari keputusan itu menyebabkan persiapan awal tahun untuk menghadapi sesi persekolahan tidak lama lagi memberi tekanan kepada kebanyakan jurulatih itu.
“Apabila tak maklumkan awal, kebanyakan jurulatih tidak ada kerja dan persiapan nak sambut sekolah untuk anak-anak yang masih bersekolah terganggu,” katanya.
Sebelum ini, NFDP dan AMD dilaporkan sudah diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan badan induk itu melantik bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Ong Kim Swee menerajui program pembangunan bertaraf nasional itu.
Susulan itu, beberapa perubahan dalam sistem pengurusan dan pertandingan di bawah seliaan NFDP diubah, selain beberapa jurulatih baharu di bawa masuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd



