260 juta panggilan scam sebulan dikesan- CelcomDigi

260 juta panggilan scam sebulan dikesan- CelcomDigi

Petaling Jaya: CelcomDigi Bhd mengesan kira-kira 260 juta panggilan yang disyaki mempunyai unsur penipuan atau ‘scam’, selain menyekat 22 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap bulan menerusi sistem perlindungan rangkaiannya bagi melindungi pelanggan.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram, berkata peningkatan penggunaan teknologi digital turut menyebabkan taktik penipuan menjadi semakin canggih, meyakinkan dan mudah diperluaskan.

Beliau berkata, sebagai pengendali rangkaian mudah alih yang mempunyai lebih 20 juta pelanggan di seluruh negara, CelcomDigi mempunyai tanggungjawab memastikan pengguna bukan sahaja mendapat akses kepada perkhidmatan digital, malah dapat menggunakannya dengan selamat.

“Justeru, kami mengambil pendekatan perlindungan digital 360 darjah melalui perlindungan pada peringkat rangkaian, penyelesaian keselamatan untuk pelanggan dan perniagaan, selain meningkatkan kesedaran serta kerjasama dengan pemain industri lain.

“Kami melancarkan ‘voice firewall’ di peringkat kebangsaan pada Julai tahun ini, yang telah menyekat kira-kira 260 juta panggilan penipuan dan mengesan 22 juta SMS penipuan setiap bulan.

“Jumlah ini sangat besar dan terus meningkat. Oleh itu, sebagai penyedia rangkaian dan perniagaan, kami perlu terus berinovasi untuk memberikan perlindungan penting ini kepada pengguna di Malaysia,” katanya menyampaikan ucapan pada forum Responsible Business Day 2026 anjuran CelcomDigi di sini, hari ini.

Sebelum ini, CelcomDigi memperkukuh perlindungan rangkaiannya apabila syarikat memperkenalkan teknologi ‘voice firewall’ bagi mengesan dan menandakan panggilan mencurigakan secara masa nyata sebelum pelanggan menjawabnya.

Tambah Joachim, akses kepada sambungan internet sahaja tidak mencukupi kerana masyarakat turut perlu mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk mengenal pasti risiko penipuan serta melindungi diri ketika berada dalam ruang digital.

CelcomDigi turut menyediakan tiga lagi lapisan perlindungan keselamatan bagi membantu pelanggan mengelakkan ancaman penipuan ketika menggunakan perkhidmatan digital.

Lapisan pertama membabitkan perlindungan pada peringkat rangkaian yang berfungsi menyekat panggilan spam secara automatik sebelum sampai ke peranti pengguna, selain memaparkan amaran bagi panggilan yang dikenal pasti mencurigakan.

Perlindungan itu beroperasi secara automatik tanpa memerlukan pelanggan mengaktifkannya secara manual.

Lapisan kedua pula menggunakan perkhidmatan WebShield bagi menapis laman web berbahaya, termasuk laman ‘phishing’ dan ‘malware’, sebelum pengguna mengaksesnya sementara lapisan ketiga pula menerusi aplikasi MobileShield yang memberikan amaran kepada pengguna mengenai aplikasi berbahaya serta kemungkinan kebocoran maklumat identiti dan akaun e-mel.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, CelcomDigi turut melaksanakan kempen Online Safety IRL 2.0 yang merekodkan 22.3 juta tontonan kandungan berkaitan kesedaran penipuan serta jangkauan terkumpul sebanyak 18.3 juta.

Joachim berkata, usaha memperkukuh keselamatan digital perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan masyarakat tanpa menjejaskan kepercayaan dan keselamatan pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top