Seoul: Seramai 267 penumpang dan kru diselamatkan selepas feri yang mereka naiki terkandas di sebuah pulau tidak berpenghuni di luar pesisir pantai barat daya Korea Selatan, lapor pengawal pantai pada Khamis, menurut agensi berita Yonhap.
Feri itu dalam perjalanan dari Pulau Jeju ke bandar pelabuhan Mokpo apabila ia terkandas selepas 8 malam Rabu lalu, kata pihak berkuasa.
Tiada kecederaan serius dilaporkan. Seramai 246 penumpang dan 21 kru dipindahkan dengan selamat ke pelabuhan berhampiran menggunakan kapal penyelamat, lapor Yonhap.
Pihak berkuasa mengesyaki kesilapan manusia mungkin menjadi punca insiden berkenaan.
Pesuruhjaya Pengawal Pantai, Kim Yong-jin berkata, penilaian awal menunjukkan kemalangan itu berkemungkinan disebabkan oleh kesilapan kru dan siasatan lanjut dijalankan.
Satu foto yang dikeluarkan oleh Yonhap menunjukkan bahagian hadapan feri itu menghentam tebing pulau yang dipenuhi pokok.
Imej lain pula menunjukkan penumpang sedang menunggu untuk diselamatkan dengan kebanyakannya memakai jaket keselamatan.
Presiden Lee Jae Myung mengarahkan “usaha menyelamat yang pantas” serta mengarahkan pegawai untuk memberikan maklumat terkini secara masa nyata kepada umum, kata pejabat beliau.
Pada 2014, sebuah feri yang membawa lebih 470 penumpang dengan kebanyakan pelajar sekolah terbalik di luar pantai barat daya, mengorbankan 304 orang dalam tragedi maritim terburuk di Korea Selatan.
Bangkai feri Sewol yang berjaya dinaikkan dibawa ke Mokpo hampir tiga tahun kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




