27 bayi lahir 31 Ogos di Terengganu

27 bayi lahir 31 Ogos di Terengganu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Mengikut jangkaan, saya sepatutnya bersalin pada 10 September ini tetapi tidak sangka pula lahir pada hari bersejarah ini,” kata Norhayati Omar, 37.

Kelahiran bayi perempuan yang merupakan anak keduanya itu dianggap rezeki yang sudah ditentukan Allah SWT kerana bersalin lebih seminggu awal daripada tarikh yang dijangkakan.

“Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan cahaya mata perempuan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Bayi ini juga merupakan bayi perempuan pertama dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), HSNZ di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu Awatif Hannan Md Yusup.

Norhayati berkata, sempena kelahiran pada hari bersejarah itu, dia berharap anak keduanya itu membesar sebagai insan berjiwa patriotik dan menjadi seorang yang berjasa pada negara dan bangsa suatu hari nanti.

Sementara itu, Kasemani berkata, seramai 27 bayi iaitu 18 lelaki dan sembilan perempuan dilahirkan di hospital di seluruh negeri bermula jam 12 tengah malam hingga 11 pagi tadi.

Menurutnya, bayi pertama yang dilahirkan adalah seorang bayi lelaki pada 12.01 tengah malam di HSNZ.

“Daripada 27 bayi, seramai 20 bayi dilahirkan di HSNZ, masing-masing dua di Hospital Kemaman dan Besut, manakala masing-masing seorang di Hospital Setiu, Dungun serta Hulu Terengganu,” katanya.

Menurutnya, semua bayi berkenaan turut menerima hadiah istimewa daripada JPN Terengganu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Co-opbank Pertama.

Katanya, seperti tahun sebelum ini, bayi yang lahir pada 31 Ogos diraikan dengan cenderahati khas serta sijil penghargaan daripada JPN Terengganu sebagai tanda kenangan pada Hari Kebangsaan.

Selain itu katanya, program berkenaan sebagai simbolik kepada permulaan generasi baharu yang bakal mewarisi semangat patriotisme negara,” katanya.

Awatif Hannan pula berkata, program itu menjadi medium bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pendaftaran kelahiran awal.

“Selain meraikan bayi merdeka, JPN juga menganjurkan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran kelahiran awal dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran bagi mengelakkan masalah dikemudian hari termasuk isu keciciran pendidikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top