27 tahun dikurung ibu bapa

27 tahun dikurung ibu bapa

Swietochlowice, Poland: Seorang wanita Poland ditemukan dalam keadaan mengejutkan selepas didakwa dikurung di dalam sebuah bilik kecil oleh ibu bapanya selama hampir tiga dekad, lapor news.com.au.

Mirella yang kini berusia 42 tahun baru berusia 15 tahun ketika dia hilang daripada pandangan awam pada 1998 di bandar Swietochlowice di selatan Poland.

Ibu bapanya dilaporkan memberitahu jiran pada masa itu bahawa anak perempuan remaja mereka hilang dan tiada sesiapa mempersoalkan cerita itu selama 27 tahun.

Penderitaannya hanya berakhir pada Julai lalu apabila polis dipanggil ke sebuah unit pangsapuri selepas penduduk mendengar kekecohan dari dalam unit berkenaan.

Apabila mereka mengetuk pintu, wanita warga emas berusia 82 tahun itu menafikan berlaku sebarang perkara luar biasa. Polis kemudian bercakap terus dengan Mirella yang meyakinkan mereka “semuanya baik-baik saja”.

Bagaimanapun, pegawai segera mengesan kecederaan serius pada kakinya dan mengambil keputusan untuk memanggil ambulans.

Doktor kemudian mengesahkan wanita itu “hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk hidup” akibat jangkitan yang dialaminya.

Kes mengejutkan itu hanya didedahkan baru-baru ini selepas penduduk tempatan melancarkan kutipan dana untuk membantunya pulih.

Wanita itu dilaporkan menghabiskan masa dua bulan di hospital berikutan keadaannya yang kritikal.

Seorang penganjur dana berkata, “Sukar dibayangkan seseorang menghabiskan begitu lama masa di dalam satu bilik. Dia sendiri mengaku tidak pernah melihat bandar tempat tinggalnya membangun, tidak pernah berjumpa doktor dan tidak pernah mendapat kad pengenalan.”

“Rambut dan giginya berada dalam keadaan yang sangat teruk sehingga menjejaskan kesihatan, jadi lawatan ke klinik swasta kini diperlukan,” kata penganjur itu lagi.

Apabila polis dan paramedik memasuki pangsapuri itu, saksi berkata Mirella kelihatan “sangat terabai” dengan kakinya yang “sudah nekrotik”.

Pihak berkuasa kini melancarkan siasatan jenayah berhubung insiden itu. Pendakwa Raya, Agnieszka Kwatera, mengesahkan kes itu sedang disiasat.

Sementara itu, Aspiran Muda Anna Hryniak dari Ibu Pejabat Polis Perbandaran Swietochlowice memaklumkan pihaknya menghubungi Pusat Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

Buat masa ini, masih belum jelas tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap ibu bapa Mirella.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top