28 pengunjung, pengurus premis hiburan dikompaun

28 pengunjung, pengurus premis hiburan dikompaun

PETALING JAYA: Seramai 28 pengunjung dan pengurus sebuah pusat hiburan di Taman Kepong, dekat sini dikompaun RM28,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Serbuan kira-kira 7.30 malam itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

Seramai 27 pengunjung termasuk lapan wanita berusia 30 hingga 70 tahun dan pengurus lelaki berusia 60 tahun dikenakan kompaun RM1,000 kepada setiap seorang.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Pindaan) 2021.

“Kita juga menahan pengurus itu dan seorang wanita warga Vietnam berusia 36 tahun dipercayai pelayan pelanggan (GRO) bagi membantu siasatan.

“Tiada sebarang rampasan barang dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan 39b Peraturan Imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Habibi turut menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Jelasnya, operasi sebegini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top