khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini digesa untuk menjelaskan berkenaan langkah dan perancangan dalam menangani penyeludupan skrap metal di negara ini.
Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 turut membangkitkan persoalan adakah undang-undang sedia ada dalam pengeluaran lesen eksport akan dikaji semula atau membenarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) diberi kuasa untuk mengawal selia eksport skrap metal bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan.
“Saya ingin menyentuh laporan Harian Metro baru-baru ini berkaitan Op Metal di mana sebanyak 28 syarikat terbabit sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.
“Nilai ketirisan hasil cukai eksport ini boleh dikatakan besar hingga hampir mencecah ke RM1 bilion dan menjadi satu kerugian kepada negara jika tidak ditangani.
“Taktik sindiket terbabit iaitu barangan yang dieksport itu akan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Roslan dalam masa sama turut musykil bagaimana perkara seumpama itu berlaku sehingga menyebabkan ketirisan hasil cukai terlalu besar dan hanya terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan serbuan baru-baru ini.
“Ia bukan sahaja menjejaskan hasil pendapatan negara tetapi imej negara juga terjejas apabila barangan dieksport itu tidak dikawal selia,” katanya.
Muka depan Harian Metro pada 15 Julai lalu mendedahkan modus operandi sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Sindiket terbabit juga dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka.
Bagaimanapun kegiatan mereka mengundang padah apabila SPRM menggempur sindiket terbabit di lima negeri secara serentak.
© New Straits Times Press (M) Bhd



