mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Selepas kejayaan tahun lalu, Harian Metro kembali meneruskan kerjasama kali kedua dengan perintis pengendali takaful dan jenama terkenal, Takaful Malaysia dalam menganjurkan majlis gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti setempat termasuk anggota badan beruniform di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
Seawal 9 pagi, sukarelawan dari Takaful Malaysia dan Harian Metro berganding bahu menyediakan bahan sebelum memasak bubur lambuk di ibu pejabat Takaful Malaysia, Menara Takaful Malaysia, Jalan Sultan Sulaiman, di sini.
Hasilnya, sebanyak 2,900 bekas bubur lambuk berjaya dimasak menggunakan tujuh periuk dalam program Titipan Kasih Bubur Lambuk Takaful Malaysia Bersama Harian Metro.
Bubur lambuk ini diagihkan kepada komuniti setempat serta petugas badan beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Polis Trafik Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi.
Agihan turut diperluaskan kepada orang ramai termasuk pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Sultan Sulaiman secara pandu lalu berhadapan ibu pejabat Takaful Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, penganjuran program itu bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan saling bantu-membantu, namun turut memupuk tanggungjawab sosial yang perlu diteladani terutama berkongsi rezeki pada Ramadan.
“Program ini menjadi satu kebanggaan saya apabila melihat semangat sukarelawan kakitangan Takaful Malaysia dan Harian Metro saling bekerjasama dan berganding bahu dalam menyediakan bubur lambuk bermula dari memasak, membungkus sehingga mengagihkan bubur lambuk.
“Ini bukan setakat program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi bagi kami di Takaful Malaysia ini juga satu ibadah di bulan Ramadan.
“Saya harap program ini akan memberi manfaat kepada semua pihak dan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kita semua,” katanya pada Majlis
Pelancaran Titipan Kasih Bubur Lambuk Takaful Malaysia Bersama Harian Metro, di sini baru-baru ini.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli.
Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhammad Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.
Sementara itu, Husain berkata, Harian Metro berbesar hati dapat meneruskan kerjasama dengan Takaful Malaysia buat tahun kedua dalam program Titipan Kasih Bubur Lambuk ini.
Katanya, sebagai rakan strategik media, kerjasama ini bukti keprihatinan Harian Metro untuk turun padang dan berkongsi rezeki dengan mereka memerlukan terutama petugas badan beruniform yang terpaksa bekerja tanpa mengira masa pada Ramadan ini.
“Program ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat, sekali gus merapatkan silaturahim antara Harian Metro dan masyarakat terutama pembaca setia kami kini mencecah lebih 18 juta orang yang membaca akhbar bercetak dan digital.
“Sebagai media arus perdana, peranan kami bukan sekadar melaporkan berita dan isu semasa, malah kami turut turun padang, memerah keringat untuk sama-sama membantu
melaksanakan program yang dekat dengan hati masyarakat.
“Harapan kami semoga program seumpama ini sedikit sebanyak dapat menceriakan dan meringankan beban komuniti setempat termasuk petugas barisan hadapan yang sedang bertugas pada waktu berbuka di mana-mana lokasi,” katanya.
Beliau turut mengharapkan, kerjasama dengan Takaful Malaysia tidak terhad kepada program bubur lambuk, sebaliknya diperluaskan kepada program lain dalam membantu masyarakat memerlukan pada masa akan datang.
Untuk rekod, program gotong-royong memasak bubur lambuk edisi Ramadan ini adalah program CSR TKHM kali kelima berjaya dilaksanakan sejak 2 Mac lalu.
Program berkenaan akan diteruskan ke lokasi lain sehingga menjelang Aidifitri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




